Tuesday, November 16, 2010

..::Keistimewaan Aidiladha::..

Hari Raya Aidiladha memiliki keistimewaan yang tersendiri berbanding Hari Raya Aidilfitri di mana ia dirayakan di seluruh dunia bersamaan waktunya dengan jemaah yang berkumpul di Tanah Suci bagi melaksanakan rukun Islam yang kelima, iaitu ibadah haji.

Syeikh Mahmud Syaltut menyatakan, bahawa serentak pada waktu yang bersamaan dilakukan dua perkara, iaitu ibadah yang berlainan pada tempat yang berbeza.

Pertamanya, ia dilakukan khusus di rumah suci Tuhan dan daerah sekitarnya di tempat-tempat yang suci dilakukan ibadah haji.

Jemaah haji yang merupakan wakil daripada seluruh dunia Islam mengerjakan tawaf di sekeliling Baitullah (Kaabah), berhenti wukuf di Mina dan mempersembahkan sembelihan-sembelihan haiwan (untuk fakir miskin) sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t.

Semuanya di dalam suasana muhibah, saling bermusyawarah, bantu-membantu dan saling hormat menghormati demi kebaikan dan kemajuan umat Islam seluruhnya.

Dan yang kedua ialah umum dilakukan oleh kaum Muslim di seluruh dunia yang jauh mahupun yang dekat.

Semenjak dari pagi fajar menyingsing, hari Arafah sehingga hari yang keempat mereka mengucapkan takbir.

Dengan semangat inilah mereka melahirkan rasa kebesaran nikmat Allah s.w.t dan tiada sesuatu kekuatan atau kebesaran di hadapan mereka yang dapat menghalang mereka untuk mencapai kemuliaan dan kebesaran di dunia ini.

Mereka beramai-ramai menunaikan solat Aidiladha dan melakukan sembelihan haiwan untuk fakir miskin sebagai bukti ketaatan mereka kepada Allah s.w.t dan memecahkan nafsu ego mereka untuk membantu sesama umat Islam dengan penuh keikhlasan.

Demikian Syeikh Mahmud Syaltut menggambarkan keistimewaan ibadah haji yang menjadi rukun Islam yang kelima.

Seolah-olah dunia seluruhnya dengan berpusat di Tanah Suci Mekah dan sekitarnya, diresapi oleh semangat iman dan laungan ‘Allahu Akbar‘.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w disebutkan bahawa (yang bermaksud): “Tidak pernah syaitan dilihat begitu kecilnya, hina, muram dan dibenci pada hari-hari haji, dimulai daripada hari Arafah.”

Di dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 30, Allah berfirman yang bermaksud: “Demikianlah sesiapa yang membesarkan hari-hari kehormatan Tuhan, maka adalah paling baik di sisi Tuhan.”

Pengorbanan melaksanakan ibadah haji mengandungi dua maksud, iaitu pertama, ia berkaitan dengan pengorbanan serta usaha kita selama ini menyimpan wang atau bekalan secara sedikit demi sedikit bagi mencukupi untuk mengerjakan ibadah haji.

Mengumpul wang selama bertahun-tahun untuk mengerjakan haji adalah satu perjuangan dan jihad.

Dengan jihad itu bukan sahaja dapat melaksanakan rukun Islam yang kelima yang menjadi fardu ain (wajib peribadi) bagi setiap Muslim, tetapi pengorbanan atau jihad harta tersebut akan menghasilkan keuntungan berlipat ganda di akhirat kelak.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Nafkah mengerjakan ibadah haji adalah seperti nafkah pada sabilillah dengan mendapat pahala berlipat ganda hingga tujuh ratus.” (Riwayat Ahmad)

Kesulitan dan masalah sepanjang perjalanan juga merupakan satu pengorbanan, apatah lagi dengan peraturan yang bermacam-macam yang harus dilalui baik dari kerajaan Arab Saudi mahupun kerajaan kita sendiri.

Demikian juga suasana di Tanah Suci yang tidak biasa kita hadapi dengan sikap sesetengah manusia yang kasar seperti orang-orang Afrika misalnya, yang menggunakan kekuatan fizikal untuk berebut-rebut tempat bagi memperoleh keselesaan beribadah. Ini semuanya menuntut kesabaran dan pengorbanan yang setulusnya.

Pengorbanan lain diajarkan sebagaimana kerelaan Nabi Ismail a.s menuruti perintah Allah. Kedua-duanya, Ibrahim dan Ismail a.s. mematuhi perintah Allah ini (iaitu ayah menyembelih anaknya berdasarkan perintah Allah), semata-mata dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah.

Dan ini adalah cermin ketakwaan. Dapatkah kita memperkuatkan takwa kita dengan pengorbanan yang kita lakukan? Dapatkah kita mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah haji? Tentunya kita tidak ingin sekadar mendapat yang zahir sahaja daripada ibadah ini.

Justeru, kita harus ingat bahawa korban yang kita lakukan pada hari-hari sekitar Aidiladha ini dengan menyembelih haiwan ternakan hendaknya akan mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Al-Hajj: 37)

Sesungguhnya Islam tidak menginginkan pelaksanaan ibadah-ibadah yang wajib dan yang sunnah itu sekadar ritual dan formaliti. Tetapi yang penting adanya ‘roh’ dalam ibadat itu, roh yang ikhlas dan takut kepada Allah yang menjadi syarat diterimanya ibadah tersebut seperti firman-Nya bermaksud: “Dan mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama yang lurus.” (Al-Baiyinah: 5)

Sesungguhnya Islam mensyariatkan ibadah-ibadah itu dengan memberi hikmah-hikmah dan kerahsiaan yang berupaya membawa manfaat dan kebaikan jiwa dan kebersihan hati dengan kemuliaan-kemuliaan akhlak.

Syeikh Mahmud Istanbuli menyatakan bahawa, “Ibadah haji merupakan sumbangan Islam yang paling positif bagi melahirkan manusia-manusia ideal yang bersatu hati dan bersatu amal yang semuanya itu diidam-idamkan oleh para ahli falsafah sejak dari zaman Plato atau al-Farabi sehinggalah ke zaman ini.”

Perhatikanlah bagaimana seluruh umat Islam yang berbeza warna kulitnya serta tingkah laku berkumpul di Tanah Suci yang satu.

Hilang segala perbezaan dan keasingan, semuanya berkenalan, bersaudara bagaikan mereka daripada keluarga yang satu, tubuh yang satu yang sama merasakan sakit dan senang serta gembira.

Mereka memiliki semangat persaudaraan yang cukup tinggi. Semangat persaudaraan inilah yang perlu dimiliki dan dihayati oleh umat Islam seluruh dunia dalam apa jua saat dan ketika.

sumber:ummatanwasatan.net

No comments: