Tuesday, May 31, 2011

Keperluan Sistem Khalifah

Bukhari dan Muslim melaporkan,

Khalifah Umar ditanya supaya menamakan penggantinya.Maka beliau menjawab,

“Sekiranya aku menentukan,maka orang yang lebih baik daripadaku(Abu Bakar) pernah menentukannya,sekiranya aku tinggalkan kepada kamu sendiri yang menentukan,maka orang yang terbaik(Rasullah SAW) pernah meninggalkannnya (dengan menyerah kepada umat yang memilihnya).”

Disebutkan dalam kitab Dalail al-Nubuwwah,ketika Perang Jamal,sewaktu berlakunya penderhakaan terhadap Khalifah Ali Bin Abu Talib,Amar Bin Sufian berucap,

“Rasullah SAW tidak menentukan kepada kami jawatan menjadi ketua negara,sehingga Abu Bakar dilantik,lalu dia menjalankan tugasnya dengan benar.Kemudian dia menentukan Umar dengan persetujuan orang ramai,dia melaksanakan tugasnya dengan konsisten sehingga meletakkan agama di hadapan.Kemudian berlaku orang yang menuntut keduniaan(sahaja) maka berlakulah perkara-perkara yang menjadi ketetapan Allah.”

Kedua-dua teks di atas adalah sumber yang sahih,Rasullah SAW tidak meninggalkan pengganti selepas baginda wafat.Tersebarlah di kalangan mazhab Syiah mengenai wasiat yang menentukan Ali menjadi khalifah.Laporan ini tidak sahih sumbernya.Ini dikuatkan lagi dengan penyertaan Ali sepanjang pemerintahan khalifah yang terdahulu.Beliau membantu semua urusan dan mempertahankannya dengan penuh pengorbanan bersama seluruh Ahlil Bait.Terdapat banyak hadis palsu yang direka selepas berlakunya pergolakan di akhir zaman Khulafa ar-Rasyidin.

Islam mendahului demokrasi barat dengan memberi kebebasan kepada rakyat,tiada amalan diktator,merampas dan menipu hak rakyat,teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada golongan agama dalam Islam atau menjadi pusaka warisan keluarga.Pendekatan Islam berasakan akidah,syariat dan akhlak,menjadikannya lebih baik daripada demokrasi barat.Walaupun amalan demokrasi moden mempunyai pengaruh fikah politik Islam,tetapi ia disekularkan dengan memisahkan politik daripada agama.Rakyatlah yang menjadi mangsa akibat pemimpin tidak beriman kepada hari akhirat dan tidak amalkan cara hidup hitung pahala dan dosa.Bagi mereka,agama tidak wujud dalam politik sekular. Amanah politik kini menjadi rebutan demi kemewahan dunia....

Saturday, January 1, 2011

Tiada sesiapa termasuk Israfil tahu bila kiamaT


PLANET Nibiru diramalkan akan melanggar bumi pada 2012. Insiden ini akan mengakibatkan kemusnahan yang teruk kepada bumi. Ada yang mengaitkan peristiwa ini dengan hari kiamat atau sekurang-kurangnya tanda-tanda hari kiamat.

Idea perlanggaran planet Nibiru dikemukakan sejak 1535 oleh seorang ahli falsafah Perancis, Notramadus. Idea asalnya peristiwa ini akan berlaku pada 2003, namun tertunda hingga ke 2012. Kiraan ini dibuat berdasarkan kiraan kalendar kaum Mayan dari Amerika Tengah. Tarikh kalendar ini berakhir pada 21 Disember 2012, oleh yang itu perlanggaran ini akan berlaku sebelum tarikh akhir kalendar ini.
Ini maklumat popular yang dinukil sebahagian besar media, baik akhbar bercetak mahupun internet. Bahkan lebih daripada itu, sejak 15 tahun yang lalu banyak tulisan dan buku diterbitkan membincangkan peristiwa 2012 ini. Termasuk dalam negara kita, buku bertema subjek ini mendapat sambutan hangat dan berjaya menduduki carta buku paling laris di rumah penerbitan dan rangkaian kedai buku utama.

Peristiwa planet Nibiru ini tidak sedikit menimbulkan polemik dan keresahan dalam kalangan umat manusia, termasuk rakyat Malaysia. Sehinggakan hal ini terpaksa dijelaskan pada persidangan Dewan Negara. Dilaporkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili ketika berucap memberitahu dakwaan planet Nibiru akan melanggar bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada 2012 adalah tidak benar. Bahkan kewujudan Nibiru pun masih diragui.

Bahkan Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Tuan Mohd Fairos Asilan menjelaskan jika benar Nibiru akan melanggar bumi pada 2012, sudah tentu ia sangat hampir dengan bumi dan kita sudah lama mengesannya.”

Ramalan mengenai Nibiru termasuk perkara akan datang yang termasuk dalam hal yang ghaib. Tentu saja Allah yang lebih mengetahui semuanya. Belum ada siapa yang boleh menentukan secara tepat esok hujan atau tidak, sekalipun keadaan awan sangat mendung. Banyak kali juga terjadi awan mendung, tidak hujan. Begitu juga sebaliknya. Inikah pula menentukan sesuatu yang besar seperti perlanggaran planet atau hari kiamat. Untuk urusan dunia seperti ini, seharusnya dikembalikan kepada pakar dalam bidangnya seperti ahli astronomi.
Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah mengaitkan sesuatu peristiwa sebagai hari kiamat atau tanda kiamat. Perkara ghaib dan hari kiamat (termasuk tanda-tandanya) ialah sebahagian daripada Rukun Iman. Salah faham mengenai perkara ini memberi natijah yang besar kepada diri seorang Muslim, kerana ia menentukan hujung-hujungnya di syurga atau kekal di neraka.

Justeru, bilakah kiamat? Soalan ini ditanya oleh seorang lelaki Arab Badwi kepada Nabi seperti yang dilaporkan oleh sahabat, Abu Hurairah.

“Suatu hari seorang lelaki Arab Badwi datang bertanya kepada Nabi: “Bilakah hari kiamat?” Ketika itu Nabi sedang berucap, dan tidak mengendahkan soalan itu. Namun setelah tamat berucap Nabi berkata: “Manakah orang yang bertanya mengenai hari kiamat tadi?” Lelaki itu berkata: “Aku wahai Rasul Allah”. Nabi menjawab: “(Kiamat akan datang) Apabila amanah telah disia-siakan”. Orang itu bertanya lagi mendapatkan penjelasan: “Bagaimanakah mensia-siakan amanah itu?” Nabi menjawab: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” – (Maksud Hadis Bukhari dan Ahmad)

Hadis ini dan juga banyak hadis menjelaskan bahawa Nabi sendiri tidak mengetahui bila hari kiamat akan berlaku secara tepat. Bahkan malaikat yang bertugas meniup sangkakala (trumpet) ketika hari kiamat juga tidak mengetahui bilakah hari kiamat. Nabi menjelaskan dalam satu hadis malaikat Israfil tertunggu-tunggu arahan daripada Allah untuk meniup sangkakala.

“Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang, sementara Malaikat Israfil telah meletakkan trumpet ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya...” – (Hadis Tirmizi, dinilai sahih oleh Al-Albani)

Jelas berdasarkan bukti daripada al-Quran dan Sunnah, tiada siapa mengetahui bila terjadinya kiamat melainkan Tuhan yang mencipta alam ini, Allah.

Namun Islam tidak meninggalkan umatnya terkontang-kanting tanpa panduan untuk menghadapi hari kiamat. Nabi banyak sekali menceritakan kepada sahabatnya mengenai tanda akan berlaku hari kiamat. Antara kepentingan dan hikmah mengetahui tanda kiamat ini ialah supaya umat Islam bersedia dengan ilmu dan amal yang cukup dan berusaha untuk tidak membabitkan diri dalam tanda-tanda itu.

Salah satu daripadanya seperti yang dijelaskan dalam hadis sebelum ini, Nabi mengatakan: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat”. Antara urusan umat akhir zaman yang diserahkan kepada bukan ahlinya ialah urusan pemimpin (umara) dan ulama. Begitu ramai manusia yang bercita-cita dan mencalonkan dirinya menjadi pemimpin. Hari ini hampir semua profesyen mengidamkan jawatan pemimpin baik penjawat awam, peniaga, posmen, suri rumah, remaja sehinggalah orang yang belajar agama. Pendek kata, tidak ada orang yang mengidamkan jawatan pemimpin melainkan sedikit saja.

Begitu juga halnya dengan gelar ulama atau ahli ilmu. Nabi pernah berkata: “Ada tiga hal yang termasuk tanda-tanda kiamat, salah satunya ilmu diambil daripada orang kecil (bodoh).” – (Kitab Zuhd, Abdullah Al-Mubarak)

Sahabat Abdullah bin Mas’ud menjelaskan: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka mengambil ilmu daripada kalangan sahabat Muhammad dan tokoh (ulama) mereka. Jika mereka mengambil ilmu daripada orang kecil (ahli bidaah) dan hawa nafsu mereka bercerai-berai, maka mereka akan binasa.”

Syaikh Yusuf bin Abdillah bin Yusuf al-Qabil menulis sebuah buku yang komprehensif mengenai tanda kiamat berjudul, Asyratus Sa’ah (diterjemahkan oleh Pustaka Ibnu Katsir dengan judul Hari Kiamat Sudah Dekat. Beliau menghimpunkan daripada al-Quran dan Sunnah 57 tanda kecil dan sembilan tanda besar hari kiamat.
SUMBER:BHARIAN

Majalah At-Tanzir

Pada tahun baru ini, pihak BADAR akan mengedarkan sebuah majalah tahunan iaitu majalah At-Tanzir 2011 SBPI TUN ABDUL RAZAK yang telah lama tidak diterbitkan . Hal ini disebabkan oleh masalah teknikal seperti kekurangan masa dan bahan.Namun kami telah mencuba yang terbaik dalam menerbitkan majalah ini.Oleh itu kami berharap anda dapat memberikan feedback kepada kami menerusi pihak BADAR.Sekian terima kasih